Wednesday, February 9, 2011

DEBAT IPT TINGKAT KEFAHAMAN ISU SEMASA PELAJAR

INSTITUT Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) akan menganjurkan Pertandingan Debat Kefahaman Islam Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bertujuan meningkatkan pemahaman dan pandangan generasi pelajar mengenai isu berkait hal ehwal Islam.


Pegawai Perhubungan Awam Ikim, Sapuah Nawawi, berkata program empat hari bermula 8 Februari ini akan disertai 16 IPT tempatan. Aktiviti ini menyediakan medan khas membolehkan pelajar mengemukakan hujah bernas mengenai isu berkaitan untuk dibincangkan bersama.
Katanya, pelajar perlu diberi peluang mengemukakan pandangan dan pendapat mengenai isu semasa supaya dapat menyuarakan hasrat dan membantu kerajaan membangunkan negara.

Sapuah berkata, program berkenaan memberi peluang pelajar mengumpulkan idea dan fakta bernas mengenai isu semasa berkaitan Islam untuk dibahaskan secara menyeluruh.

“Program ini sebagai landasan dalam meninjau dan menganalisa sejauh mana kemampuan pelajar IPT dalam memperkatakan hal berkaitan dan meningkatkan kesedaran mereka mengenai perihal dunia Islam. Ilmu yang diperoleh ini membolehkan pelajar menghayatinya dalam kehidupan harian seperti yang dituntut agama,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Antara IPT yang akan mengambil bahagian ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Putra Malaysia Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pusingan pertama pertandingan diadakan selama dua hari bermula 8 Februari manakala pusingan kedua pada 10 Februari dan separuh akhir diadakan pada hari berikutnya manakala pusingan akhir dijadual berlangsung pada hari terakhir program iaitu 12 Februari di Dewan Besar Ikim, Kuala Lumpur.

sumber maklumat : Berita Harian

No comments:

Post a Comment