Friday, February 11, 2011

Kuasa rakyat Mesir

Kuasa rakyat Mesir yang berada di kemuncak
pada waktu ini,mampu mengubah lanskap
politik negara teluk itu dalam masa terdekat.
Biarpun Presiden Mesir, Hosni Mubarak dalam
ucapannya yang disiar televisyen negara itu
semalam sekali lagi memberikan harapan palsu
kepada rakyatnya, namun bantahan berterusan
dari rakyat sekurang-kurangnya telah menekan
Mubarak dan menggugat pengaruh Amerika
Syarikat.
Amerika Syarikat mempunyai tiga kepentingan utama di Mesir iaitu negara Israel,
ekonomi (Peroleum dan Gas) dan ketenteraan.
Mereka bimbang, kejatuhan kerajaan regim dan jika diganti pihak lain, akan
menjejaskan segala kepentingan yang telah dibina sejak berpuluh tahun dahulu.
Mubarak muncul melalui siaran televisyen seluruh negara dan berucap kepada
rakyat yang membantahnya.
Rakyat yang sebelum ini diberitahu akan ada berita gembira tentang pengumuman
pengunduran Mubarak, bagaimanapun kecewa apabila presiden yang dibantah
itu memaklumkan akan terus berada di pejabat presiden sehingga pemilihan
September depan.
Beliau juga memberitahu telah mengalihkan sebahagian kuasanya kepada
Naib Presiden yang baru dilantik, Omar Suleiman dan mengarahkan
perlembagaan negara itu dipinda.
Berita itu bagaimanapun ditolak rakyat yang mahu bukan sahaja Mubarak,
tetapi seluruh kerajaan regim berundur segera tanpa syarat.
"Media cuba gambarkan rakyat hanya tolak Mubarak.
"Rakyat Mesir sebenarnya bukan hanya tolak Mubarak, tetapi seluruh
aparatus kerajaan regim itu," kata Syed Azman lagi.
Mengulas himpunan besar-besaran rakyat Mesir selepas Jumaat hari ini
beliau berkata, rakyat Mesir sebenarnya sudah nekad, tidak akan berundur
ke belakang lagi, sama ada menang dalam tuntutan ini ataupun mati syahid.
Dijangkakan 20 juta rakyat Mesir akan berhimpun selepas solat Jumaat hari
ini dan akan berarak ke Istana Mubarak di Abdeen, Kaherah.
Difahamkan, Istana Presiden tersebut adalah kawasan larangan dan tidak
pernah ada mana-mana pihak dibenar masuk ke istana itu sejak sekian lama
pemerintahan regim.

Wednesday, February 9, 2011

DEBAT IPT TINGKAT KEFAHAMAN ISU SEMASA PELAJAR

INSTITUT Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) akan menganjurkan Pertandingan Debat Kefahaman Islam Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bertujuan meningkatkan pemahaman dan pandangan generasi pelajar mengenai isu berkait hal ehwal Islam.


Pegawai Perhubungan Awam Ikim, Sapuah Nawawi, berkata program empat hari bermula 8 Februari ini akan disertai 16 IPT tempatan. Aktiviti ini menyediakan medan khas membolehkan pelajar mengemukakan hujah bernas mengenai isu berkaitan untuk dibincangkan bersama.
Katanya, pelajar perlu diberi peluang mengemukakan pandangan dan pendapat mengenai isu semasa supaya dapat menyuarakan hasrat dan membantu kerajaan membangunkan negara.

Sapuah berkata, program berkenaan memberi peluang pelajar mengumpulkan idea dan fakta bernas mengenai isu semasa berkaitan Islam untuk dibahaskan secara menyeluruh.

“Program ini sebagai landasan dalam meninjau dan menganalisa sejauh mana kemampuan pelajar IPT dalam memperkatakan hal berkaitan dan meningkatkan kesedaran mereka mengenai perihal dunia Islam. Ilmu yang diperoleh ini membolehkan pelajar menghayatinya dalam kehidupan harian seperti yang dituntut agama,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Antara IPT yang akan mengambil bahagian ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Putra Malaysia Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pusingan pertama pertandingan diadakan selama dua hari bermula 8 Februari manakala pusingan kedua pada 10 Februari dan separuh akhir diadakan pada hari berikutnya manakala pusingan akhir dijadual berlangsung pada hari terakhir program iaitu 12 Februari di Dewan Besar Ikim, Kuala Lumpur.

sumber maklumat : Berita Harian